FAHMI semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
FAHMI semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan perkhidmatan 5G di negara ini mencapai 70.2 peratus di kawasan berpenduduk sehingga 30 September lalu, di mana 5,873 tapak siap dibangunkan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan rangkaian 5G negara sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

"Bagi jumlah langganan perkhidmatan 5G pula, sebanyak 2.49 juta langganan telah direkodkan bersamaan dengan 7.4 peratus kadar penembusan.

"Sehingga kini enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersil 5G iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, YTL Communications dan Yoodo," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang bertanya status pembangunan rangkaian 5G setakat ini dan jumlah langganan yang diterima menerusi perkhidmatan rangkaian 5G.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pada 31 Ogos lalu, kerajaan juga mengumumkan pakej 5G Rahmah.

Beliau berkata, dalam tempoh antara 31 Ogos sehingga penghujung September, 50,991 orang melanggan pakej itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:18 PM