GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak meneruskan diskaun bayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima reaksi negatif daripada kesatuan pelajar.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Kebangsaan Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian diskaun pinjaman PTPTN kepada lepasan universiti untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024.

Menurutnya, ini kerana pemberian diskaun itu bukan perkara baharu kerana sudah lama dilaksanakan sebelum ini.

"Inisiatif yang dilaksanakan dulu bagi memberikan diskaun kepada peminjam ini sememangya membantu golongan peminjam mengurangkan beban mereka dalam melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman.

"Dalam keadaan ekonomi negara dan pendapatan masyarakat yang tidak menentu, adalah menjadi harapan supaya diskaun ini dapat diteruskan sebagai faedah yang memberi manfaat kepada mereka," katanya kepada BH, di sini.

Wan Amsyar berkata, pemberian diskaun PTPTN adalah langkah berpotensi memberi peluang kepada graduan untuk membayar balik pinjaman dengan lebih mudah, merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan memberi insentif kepada graduan untuk mencapai kecemerlangan akademik serta menyokong perkembangan kemahiran mereka dalam jangka panjang.

Beliau berkata, namun mengambil kira hutang PTPTN yang semakin meningkat ini, pihaknya juga menggesa kepada semua peminjam supaya menjelaskan pembayaran agar generasi baharu turut dapat merasai faedah daripada pinjaman ini.

"Pihak PTPTN juga seharusnya lebih progresif dalam melaksanakan kempen untuk menggalakkan bayaran balik PTPTN daripada peminjam supaya ia tidak menjadi beban kepada PTPTN dan akhirnya menjejaskan peluang kepada peminjam baharu yang akan memulakan pengajian di universiti," katanya.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui tidak bercadang meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Mohamed Khaled bagaimanapun dipetik berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Pengerusi Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Muhammad Aiman Dhaifullah Dzulkarnain berkata, KPT perlu menyatakan justifikasi mengenai langkah berkenaan sekali gus menyemak semula keputusan terbabit.

Menurutnya, ini kerana pemansuhan diskaun PTPTN dilihat sebagai satu tindakan tidak bijak kerana ia menambahkan beban mahasiswa selepas tamat pengajian.

"Banyak lagi komitmen yang perlu ditanggung oleh mahasiswa dalam ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, dan tindakan terbabit menambah bebanan hutang.

"Tambahan pula, dengan sektor pekerjaan sangat kompetitif yang tidak menentu pada masa ini, tidak menjanjikan peluang pekerjaan.

"Hutang PTPTN tanpa diskaun akan memberi impak negatif yang sangat besar kepada kerajaan. Tindakan ini membangkitkan kemarahan mahasiswa dan graduan dalam masa yang terdekat," katanya.

Pada masa sama, katanya, KPT dilihat seolah-olah 'memekakkan telinga' dalam isu ini kerana prestasi ekonomi yang tidak memuaskan sedangkan banyak lagi inisiatif lebih baik boleh dilaksanakan KPT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:48 PM