GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Seorang lelaki memukul dan menyamun bekas teman wanita di Axis Mall Ampang, di sini, Khamis lalu, kerana tidak berpuas hati wanita itu sudah mempunyai kekasih baharu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian 9.50 malam itu berlaku ketika wanita berusia 21 tahun yang bekerja di farmasi di pusat beli-belah terbabit didatangi suspek.

Beliau berkata, suspek yang berusia 26 tahun meminta mangsa mengikutnya dan mahu menghantar wanita itu pulang ke rumah.

Bagaimanapun, katanya, mangsa cuba melarikan diri lalu suspek mengejar dan memukulnya sebelum merampas telefon bimbit milik mangsa.

"Akibat kejadian, wanita terbabit yang mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.

"Pada 9.45 malam tadi, sepasukan polis membuat serbuan di Jalan Cempaka, Taman Cempaka, Ampang dan menahan lelaki terbabit yang bekerja sebagai kelindan lori," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian dadah dapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

"Suspek direman lima hari sehingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:45 PM