GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tergamak menghamburkan kata-kata kesat selain mengugut mahu membunuh ibu kandung sendiri menggunakan gunting.

Itu tindakan kurang ajar seorang lelaki berusia 28 tahun yang diberkas polis di Pandan Indah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 7 malam Isnin lalu, mangsa berusia 54 tahun dikatakan keluar dari bilik tidur sebelum menuju ke dapur.

Menurutnya, suspek yang berada di ruang tamu kediaman kemudian mengacukan gunting ke arah ibunya sebelum mengugut mahu membunuh wanita terbabit.

"Suspek yang juga penagih dadah mendakwa wanita terbabit bukan ibunya. Suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan anaknya kemudian kemudian berlari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu akibat ketakutan," katanya tadi.

Mohamad Farouk berkata, ketika kejadian, hanya mangsa, suspek dan seorang lagi anak lelakinya berusia sembilan tahun berada di rumah berkenaan.

"Mangsa yang juga ibu tunggal kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Susulan itu polis mengambil tindakan dan menahan suspek di rumahnya jam 4 petang semalam. Gunting digunakan untuk mengugut mangsa turut dirampas," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif mengambil syabu.

"Suspek dipercayai masih di bawah pengaruh dadah ketika kejadian hingga tidak dapat berfikir dengan waras," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:34 PM