WAN Azizah (tengah) beramah mesra dengan penerima sumbangan ketika Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan Cheras di Institut Latihan DBKL, Cheras. FOTO Hairul Anuar Rahim
WAN Azizah (tengah) beramah mesra dengan penerima sumbangan ketika Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan Cheras di Institut Latihan DBKL, Cheras. FOTO Hairul Anuar Rahim
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin program pembasmian miskin tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.

Ia juga sejajar dengan hasrat dan mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menoktahkan kelompok miskin tegar di negara ini.

Beliau berkata, semua pegawai dan pihak terbabit sedang giat berusaha bagi mencapai matlamat itu.

"Insya-Allah, sebab kita tengok pegawai-pegawai pun gigih untuk mencapai hasrat Perdana Menteri.

"Sebab ia adalah antara usaha dan kebaikan yang kita nak salurkan," katanya ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan Cheras yang diadakan di Institut Latihan DBKL, di sini, hari ini.

Menurutnya, program itu mendapat sambutan hebat daripada kelompok terbabit yang mana sudah mendaftar dalam sistem eKasih.

"Alhamdulillah, kita dapati bahawa sambutan begitu hebat. Tapi kita ada kekangan, kerana kena saring siapa yang betul-betul miskin tegar dan yang mana boleh ditampung lagi. Ini salah satu daripada usaha untuk kita melihat supaya tidak ada yang terkeluar atau tercicir.

"Kita akui ada tercicir, tapi itu yang kita nak kurangkan. Kita nak tengok yang betul-betul memerlukan dapat, jadi sasaran kita tepat. Kadang realiti itu nampak macam tak miskin, tapi realitinya hidup itu tidak ada kekusahan.

"Bersama pasukan yang ada, kita cuba bantu dan tangani miskin tegar ini. Kategori itu satu perkara, tapi hidup yang miskin tegar itu yang kita nak capai dan baiki," katanya.

Bekas pengawal keselamatan, Kaneasan Krishnan, 42, dia menyambut baik hasrat Perdana Menteri untuk membasmi miskin tegar.

"Usaha ini sangat baik dan inisiatif yang disediakan juga sangat membantu. Apatah lagi, saya baru hilang sumber pendapatan selepas diberhentikan kerja akibat masalah serangan jantung.

"Selepas mendaftar menerusi sistem eKasih, permohonan saya diterima dan seterusnya dapat bantuan," katanya.

Ibu tunggal, Salamah Abdul Rahman, 73, berkata, dia menyokong apa sahaja usaha daripada kerajaan bagi memastikan kehidupan rakyat dan golongan miskin terjamin.

"Terima kasih atas keprihatinan kerajaan hari ini yang mahu membasmi kemiskinan tegar ini. Saya berharap usaha akan berjaya seterusnya menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik," katanya.

Berdasarkan data terkini dalam sistem eKasih, 1,186 keluarga berada dalam kategori miskin tegar bagi keseluruhan 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi Parlimen Bandar Tun Razak, 230 ketua isi rumah berdaftar, manakala 77 lagi bagi Parlimen Cheras.

Fasa pertama Sesi Libat Urus Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan sudah dijalankan di Parlimen Segambut, Kepong dan Bukit Bintang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:01 PM