GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Cabut lari selepas langgar motosikal sedang berhenti di lampu isyarat punca pemandu kereta jenis Nissan Almera dikejar di sepanjang Jalan Gombak dari arah Taman Sri Gombak menghala ke Sentul Point, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2.05 petang.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta jenis Nissan Almera.

"Suspek melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal jenis Yamaha LC135 seterusnya melanggar bahagian kiri sebuah Proton Saga, "katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas satu video berdurasi dua minit 19 saat dimuat naik di satu halaman media sosial X yang memaparkan pemandu terbabit memandu secara melulu sebelum berhenti di tengah-tengah jalan.

Menurut ciapan pemilik akaun, sebelum kejadian sekumpulan remaja bertindak melarikan diri menaiki kereta terbabit selepas dikatakan tidak membayar pesanan cendol.

Mengulas lanjut Sarifudin berkata, sehingga kini pemandu kereta terbabit masih belum tampil membuat laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 7:38 PM