Sudirman Mohd Tahir

Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat negara ini mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah SAW yang amat bernilai dan istimewa.

Keperibadian Rasulullah SAW sebagai insan mulia dan pemimpin terpuji amat terserlah selain mempunyai sifat tawaduk yang tinggi dan tidak suka dipuja.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

"Marilah kita terapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan menutur bicara kebenaran, bersikap jujur, menjauhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan.

"Ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW turut mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara yang penuh rencam dengan pelbagai puak dan agama, serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza-beza," titah bangida.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir negara.

"Dari aspek ekonomi, Rasulullah SAW memberi tumpuan pada pengurusan sumber dan agihan kekayaan secara cekap, mempelbagaikan sektor ekonmi dan menitikberatkan kepentingan sosial serta merangka program untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat.

"Baginda tidak segan silu mendekati golongan terpinggir dalam kalangan mereka yang miskin, lemah dan kurang berada dan seterusnya berusaha keras membawa golongan ini keluar dari kesempitan hidup.

"Selanjutnya masyarakat dunia diperlihatkan dengan contoh akhlak terpuji baginda sebagai penanda aras nilai insani," titah baginda.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO BERNAMA

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, Rasulullah SAW tegas dalam memelihara integriti dan akauntabiliti.

"Amanah yang digalas baginda tidak langsung dicemari semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi. Baginda sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan dalam semua bentuk urusan negara dan paling terutamanya dalam memelihara kemaslahatan ummah.

"Hikmahnya, baginda berjaya membawa manusia keluar dari kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang.

"Rasulullah SAW membawa syiar Islam untuk terus bangkit dan berkembang di benua timur tengah hingga menjadi pencetus kemajuan dan kejayaan masyarakat di benua lain yang sedang dalam kegelapan ketika itu," titah baginda.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru agar rakyat negara ini terus berpegang pada tuntutan Allah SWT dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 11:35 AM