SUAMI isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan mendera anak mereka. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SUAMI isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan mendera anak mereka. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Bapa kandung dan ibu tiri dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mendera anak mereka yang berusia enam tahun.

Tertuduh, Muhammad Aizat Zolkepli, 27, dan Siti Norshakina Mohd Noor, 31, mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dari tarikh tangkap pasangan suami isteri itu selain kedua-dua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama dua tahun setiap seorang dan menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 80 jam setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didapati menganiaya dengan mendera kanak-kanak berusia enam tahun sehingga mengalami kecederaan di seluruh badan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Rumah Rakyat Jambu Lapan, Bahau pada Mac hingga 12 September lalu.

Justeru, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Hukuman yang diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Muhammad Aizat dalam rayuan mengakui kesilapan dilakukan dan memohon hukuman diringankan berikutan mempunyai tiga anak yang masih kecil.

Siti Norshakina turut mengemukakan rayuan sama dan sudah menginsafi kesalahan yang dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi bagaimanapun memohon mahkamah memberi hukuman berat berikutan kecederaan dialami mangsa yang sepatutnya dijaga dengan baik bukannya didera.

Kedua -dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 2:29 PM