SHARUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
SHARUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mempersoalkan keputusan Boustead Plantations Bhd (BPlant) menyerahkan pegangan 33 peratus saham kepada sebuah syarikat swasta bukan Bumiputera.

Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata, ia akan memberi kesan kepada aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membabitkan tanah berkeluasan lebih 89,000 hektar.

Menurutnya, PVATM adalah pemegang taruh dalam saham LTAT dan penjualan itu dikhuatiri memberi kesan jangka panjang bukan saja kepada lembaga tetapi juga kebajikan warga ATM termasuk veteran.

"Perlu diingat, setiap inci tanah mempunyai titisan peluh dan darah serta cebisan daging pejuang terdahulu yang berkorban untuk mempertahankan tanah air.

"Pejuang dan pahlawan negara sebelum ini sudah berjuang untuk membersihkan dan memutihkan negara ini daripada komunis, tapi selepas 30 tahun ia terjual.

"Adakah penjualan ini jalan penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi? Mungkin ada kaedah lain yang boleh dipertimbangkan," katanya dalam sidang media di Wisma Pahlawan di sini, hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dalam kenyataan memaklumkan memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan Boustead Holdings Bhd (BHB) yang menyaksikan pengambilalihan 33 peratus saham BPlant dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Berikutan itu, beberapa pihak menggesa memperjelas rasional di sebalik pengambilalihan pegangan saham itu yang didakwa tidak selari dengan komitmen untuk memperkasa ekuiti Bumiputera seperti dilaungkan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Dewan Rakyat minggu lalu, berkata urus niaga itu disifatkan sebagai membimbangkan kerana 221,000 ekar (89,000 hektar) tanah yang berpotensi tinggi terlepas ke tangan bukan Bumiputera.

Susulan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam dilaporkan berkata, penjualan sebahagian saham itu perlu dilaksanakan dengan segera bertujuan membolehkan penyelesaian masalah aliran tunai dan hutang Boustead sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Katanya, ia mustahak bagi mengelak Boustead daripada menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa ditetapkan.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, beberapa kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah dalaman LTAT antaranya mereformasi semula struktur organisasi selain menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Justeru, beliau merayu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi membantu menyelesaikan permasalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:42 PM