Pemangku Yang Dipertua Negeri Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor, dan kenamaan lain hadir pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Pemangku Yang Dipertua Negeri Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor, dan kenamaan lain hadir pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Semangat 'Segulai Sejalai' yang bermaksud berjalan seiringan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam ini.

Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum dan agama membanjiri stadium tertutup itu seawal jam 5 petang walaupun acara rasmi dijadual bermula jam 8.30 malam.

Keadaan lalu lintas menghala ke Kompleks Sukan Sarawak yang terletaknya Stadium Perpaduan, lokasi sambutan itu sesak berikutan kehadiran ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.

Hari Malaysia tahun ini cukup bersejarah kerana ia diraikan untuk kali ke-60 selepas pembentukan negara hasil gabungan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah pada 16 September 1963.

Sambutan dengan tema 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' bermula pada 7.45 malam dengan ketibaan barisan Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.

Dua Timbalan Perdana Menteri serta pasangan masing-masing pula tiba pada jam 8.05 malam diikuti ketibaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salang pada jam 8.10 malam.

Pada jam 8.15 malam pula, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan SriJuma'ani Tuanku Bujang pula tiba disusuli ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada jam 8.30 malam, tetamu utama sambutan itu,Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar tiba.

Selepas nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku persembahan Selamat Datang, bacaan doa serta tayangan video ucapan Menteri bertanggungjawab terhadap sambutan, ucapan Abang Johari dan Anwar menyusul.

Selepas itu, Mohd Asfia menandatangani buku khas Hari Malaysia disusuli tayangan video Khas Konvoi Kembara Merdeka 2023 dan perarakan masuk konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan upacara menaikkan Jalur Gemilang.

Sambutan diteruskan dengan persembahan khas, persembahan hiburan dan kebudayaan serta pertunjukan bunga api sebelum Mohd Asfia dan isteri meninggalkan majlis pada jam 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 9:07 PM