SK Malaing menjadi tempat pertama di Borneo yang dipasang Starlink oleh SKMM. FOTO Datuk Arthur Joseph Kurup
SK Malaing menjadi tempat pertama di Borneo yang dipasang Starlink oleh SKMM. FOTO Datuk Arthur Joseph Kurup
BERNAMA

Pensiangan: Penduduk Kampung Malaing sini teruja dan berpuas hati dengan capaian Internet disediakan melalui sistem Starlink dipasang Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata internet Starlink itu dipasang di Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing dan ia lokasi pertama di Sabah menerima perkhidmatan internet Starlink berspesifikasi tinggi.

"SK Malaing adalah satu daripada tiga lokasi yang saya mohon untuk mendapatkan pemasangan internet Starlink. Saya mengadakan lawatan ke Kampung Malaing untuk meninjau dan mencuba sendiri prestasi perkhidmatan Internet Starlink berkenaan.

"Penduduk amat berpuas hati dengan kelajuan dan kestabilan capaian internet oleh Starlink," katanya dalam kenyataan.

Capaian Internet yang stabil akan membolehkan anak-anak di kawasan pedalaman untuk turut serta secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian disamping menerokai kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (AI), katanya.

Arthur berkata pemasangan Starlink di Kampung Malaing itu adalah tambahan fasiliti yang bersifat sementara bagi menawarkan kemudahan capaian internet yang stabil dan bagi kemudahan penduduk setempat.

"Sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang, sebanyak 55 menara telekomunikasi baharu di bawah program Jendela sedang dibina di kawasan Parlimen Pensiangan bagi memastikan liputan internet yang lebih meluas, laju dan stabil," katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta agensi yang terbabit dalam usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 2:07 PM