Suraya Roslan dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang hanya melepaskan tanpa membebaskannya daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan itu esok.

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata, daripada tarikh anak guamnya dituduh pada 19 Oktober 2018, pembelaan mengemukakan beberapa representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Representasi terbaharu dikemukakan untuk mengkaji semula pertuduhan dan menarik semula pertuduhan-pertuduhan itu atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan.

"Pada Februari tahun ini, pihak pembelaan disalinkan satu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada AGC yang antara lain menyatakan siasatan menyeluruh amat penting supaya pasukan penyiasat dan pihak pendakwaan tidak dikecam oleh orang awam dan dituduh melakukan pendakwaan terpilih," katanya.

AHMAD Zahid (kanan) mengadakan pertemuan tertutup bersama 14 ketua bahagian Umno Kelantan hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (kanan) mengadakan pertemuan tertutup bersama 14 ketua bahagian Umno Kelantan hari ini. FOTO Bernama

Ahmad Zaidi berkata, berikutan keputusan Peguam Negara pada hari ini, pihaknya percaya ia berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.

"Namun, ingin kami tekankan di sini bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Malahan, ini bukanlah kali pertama untuk mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula menzahirkan kesyukuran kepada Allah, ahli keluarga dan barisan peguam berikutan keputusan mahkamah yang menghentikan prosiding terhadapnya.

"Tugasan kami dalam Umno dan Barisan Nasional adalah untuk meneruskan perjuangan agar lemparan tuduhan yang bermotifkan politik dapat dihentikan," katanya.

Ahmad Zahid, 70, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat pada Januari dan Februari lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan. Pihak pembelaan setakat ini memanggil 15 saksi termasuk Ahmad Zahid untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 3:18 PM