SAKSI menunjukkan kesan darah mangsa yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SAKSI menunjukkan kesan darah mangsa yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Nor Fazlina Abdul Rahim


Machang: Motif kejadian pergaduhan yang menyebabkan seorang penjawat awam maut dalam kejadian pagi tadi kerana suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata susulan kejadian itu suspek berusia 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

"Motif kejadian adalah suspek mengesyaki mangsa yang juga simati ada hubungan sulit dengan isterinya.

"Suspek bekerja disebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek adalah penjawat awam yang bekerja disebuah jabatan yang sama di Kuala Krai," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas kejadian yang berlaku, Muhamad Zaki berkata, dalam kejadian jam 11 pagi di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang berlaku satu pergaduhan membabitkan dua lelaki berusia 46 dan 51 tahun.

"Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan serius dibahagian muka.

"Mangsa juga mengalami kecederaan parah di kedua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri. Manakala suspek hanya mengalami kecederaan di kedua belah tangan.

"Pergaduhan berlaku tanpa membabitkan sebarang senjata. Mangsa berusia 51 tahun dibawa ke Hospital Machang oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut terhadap suspek dan mangsa mendapati tiada sebarang rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal terhadap suspek didapati negatif dari sebarang jenis dadah. Kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Machang esok untuk perintah tahanan reman," katanya.

Terdahulu, Seorang lelaki dipercayai penjawat awam dilaporkan maut selepas berlaku pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, di sini, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:29 PM