ANGGOTA Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membabitkan seorang lelaki pemilik bengkel kereta berusia 37 tahun yang maut ditembak di Kampung Hutan Kuin, Machang. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membabitkan seorang lelaki pemilik bengkel kereta berusia 37 tahun yang maut ditembak di Kampung Hutan Kuin, Machang. FOTO BERNAMA
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lelaki yang maut ditembak di hadapan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang, petang semalam, mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa yang berusia 38 tahun itu juga adalah seorang peniaga.

"Berdasarkan maklumat awal, suspek adalah dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta Honda berwarna putih melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pemandu, yang berada di dalam pacuan empat roda.

"Mangsa yang berada di bahagian pemandu kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, lelaki meninggal dunia dipercayai ditembak di hadapan kedai alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin di Machang.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia 38 tahun yang memandu pacuan empat roda itu berhenti untuk membeli alat ganti kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 7:56 AM