Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang memperlihatkan peratusan keluar mengundi rendah bukan refleksi (gambaran) sebenar dalam sebuah negara demokrasi.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah peratusan keluar mengundi juga menunjukkan wakil rakyat yang diberi mandat kelak adalah seorang yang 'tulen' (betul-betul yang diperlukan rakyat).

"Saya mendoakan peratusan ini bertambah (sehingga pusat mengundi ditutup petang ini)," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu, di sini, hari ini.

Pada PRN ini, Reezal Merican membuat percubaan untuk kembali ke arena politik dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam bagi memberi saingan terhadap penyandang kerusi terbabit Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas berkenaan tiba di pusat pengundian itu jam 9.50 pagi ditemani isteri, Datin Seri Ismalina Ismail; anak, Reena Awliyatul Iman serta beberapa ahli keluarga mereka yang lain.

Kesemua mereka dilihat selesai menunaikan tanggungjawab membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.

Tinjauan di pusat mengundi itu juga didapati suram walaupun lebih dua jam ia dibuka sejak jam 8 pagi berbeza dengan suasana PRU-15.

SPR memaklumkan setakat jam 11 pagi, hanya 29 peratus sahaja penduduk Pulau Pinang yang sudah keluar mengundi dan berharap peratusan akan terus meningkat sehingga pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:50 PM