CALON BN bagi Dun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin beramah mesra dengan sebahagian pengundi selepas mengundi sempena PRN Negeri Sembilan di SJK (C) Chung Hua, Rantau. FOTO Aizuddin Saad

CALON PH Dun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad@Altimet menunjukkan jari selepas mengundi di SMK Seri Keramat. FOTO Hairul Anuar Rahim
CALON PH Dun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad@Altimet menunjukkan jari selepas mengundi di SMK Seri Keramat. FOTO Hairul Anuar Rahim
ABDUL Hadi Awang  menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Hadi Awang menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Said mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong, Kijal. FOTO Zaid Salim
AHMAD Said mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong, Kijal. FOTO Zaid Salim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebaik pusat mengundi di enam negeri dibuka, calon-calon bertanding serta pemimpin parti bersemangat dengan hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Menariknya, ada dalam kalangan mereka bersama-sama beratur dengan pengundi lain seawal 7.30 pagi sementara menunggu pusat-pusat pengundian di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi antara pengundi terawal mengundi di Sekolah Kebangsaaan (SK) Puncak Alam 2 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram, Selangor dan selesai menunaikan tanggungjawabnya pada 8.02 pagi.

Di utara tanah air, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga calon Dun Padang Kota tiba pada 7.55 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hu Yew Seah, Georgetown dan selesai mengundi pada 8.15 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu yang juga calon Dun Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud masing-masing menjadi pengundi pertama dan kedua mengundi di SK Telok Kalong, Kijal, Terengganu.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mengundi di Dun Ru Rendang adalah antara pengundi yang tiba awal di pusat pengundian Sekolah Kebangsan Rusila, Marang.

Di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden Umno yang juga calon Dun Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin tiba pada 8.30 pagi di SJKC Chung Hua, Rantau untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Dun Sikamat tiba di Pusat Pengundian SMK Haji Mohd Redza, Sikamat, pada 8.30 pagi.

Di Selangor, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet selesai mengundi 8.10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat bagi Dun Lembah Jaya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merangkap calon Dun Sungai Tua tiba di SJKC Selayang Baru, Batu Caves pada 8.35 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 10:26 AM