GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Ayer Keroh: Lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan tangan kanan seorang bayi perempuan putus kerana digigit anjing peliharaannya, September lalu.

Tertuduh yang juga pemasang jubin, Gan Tiong Guey, 41 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Mazana Sinin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan cuai meninggalkan haiwan peliharaan iaitu seekor anjing dalam milikannya hingga menyebabkan tangan kanan anak saudaranya yang berusia tujuh hari putus.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9 pagi, di Taman Widuri, Bachang di sini pada 8 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam tertuduh, Amritpal Singh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung lima anak berusia sembilan hingga 20 tahun, selain ibu bayi berkenaan juga enggan memanjangkan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kecederaan cacat kekal yang dialami bayi terbabit dan sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal melunaskan bayaran itu.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, isteri tertuduh, Heng Chiew Lian, 39, turut didakwa atas pertuduhan mengabai atau mendedahkan mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Wanita itu didakwa mengikut Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:30 PM