ANWAR. FOTO arkib NSTP
ANWAR. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati keputusan dan pilihan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan baharu, di negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun negara dalam tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan penularan Covid-19, rakyat Sabah melaksanakan tanggungjawab dalam proses demokrasi itu.

Ketua Pembangkang itu turut berharap proses pembentukan kerajaan negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah, selain merakamkan ucapan penghargaan kepada gabungan Warisan Plus.

"Tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP memenangi enam kerusi dan UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) berjaya memenangi satu kerusi," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, atas kejayaan PKR Sabah mempertahankan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat PKR di DUN Sook berbanding undi pada 2018.

Keputusan PRN Sabah semalam menyaksikan hanya dua daripada tujuh calon PKR menang, iaitu Peto Galim yang memperoleh 8,586 undi di DUN Inanam dan Liew (7,794 undi) di DUN Api-Api.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga memohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat saringan dan kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari Sabah dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Pada pilihan raya negeri itu, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS memenangi 38 kerusi DUN, manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) memperoleh 32 kerusi DUN. Baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon bebas.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:17 PM