Datuk Raja Rozela Raja Toran.
Datuk Raja Rozela Raja Toran.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak lagi mengetuai pasukan pendakwaan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana akan bersara awal.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.

"Raja Rozela mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April 2023. Pemohonan itu diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 Nov 2023.

Selanjutnya, Raja Rozela memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Idrus, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu dalam kes Ahmad Zahid berdasarkan pengalaman luas beliau hampir 30 tahun sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau berkata Mohd Dusuki ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi, termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Idrus berkata memandangkan kes membabitkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes.

"Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kenyataan Peguam Negara itu susulan daripada laporan media berkenaan Raja Rozela, ketua pasukan pendakwaan yang digantikan dengan Mohd Dusuki semasa perbicaraan kes itu pada 1 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Ahmad Zahid, 70, diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Beliau selesai memberi keterangan pada 30 Ogos tahun lalu setelah 17 hari membela diri secara bersumpah dari tempat saksi dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 5:41 PM