LEMBU yang ditemukan mati di ladang KESEDAR Jeram Tekoh. FOTO Ihsan Pembaca
LEMBU yang ditemukan mati di ladang KESEDAR Jeram Tekoh. FOTO Ihsan Pembaca
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seramai 10 penternak lembu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh kerugian hampir RM70,000 apabila haiwan ternakan mereka dipercayai hilang sejak empat hari lalu.

Penternak mendakwa kerugian itu terpaksa ditanggung mereka apabila 25 lembu hilang tanpa dapat dikesan.

Raja Mohd Paris Raja Ismail, 34, berkata, pada Jumaat lalu dia menemukan seekor lembunya mati dalam ladang sawit di kawasan itu dipercayai diracun.

Katanya, lembu daripada sembilan penternak lain juga dipercayai hilang sejak empat hari lalu dan sehingga kini belum ditemui.

"Selain ternakan saya, terdapat dua lagi lembu milik penternak lain ditemukan mati di kawasan ladang dipercayai diracun. Susulan itu, saya bersama seorang lagi penternak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada hari yang sama.

"Akibat tiga lembu yang mati ini, kami kerugian sehingga RM15,000. Manakala bagi 25 lembu yang hilang dianggarkan kerugian RM70,000," katanya.

Katanya, lembu milik mereka dilepaskan di dalam ladang peneroka Kesedar Jeram Tekoh dan ini adalah kejadian pertama yang berlaku sejak 13 tahun dia menternak lembu.

"Kami sudah mendapat kebenaran dari Kesedar untuk melepaskan lembu dalam ladang terbabit dan sebelum ini tidak pernah ada isu berbangkit," katanya.

Menurut Zahari Jusoh, 60, dia kecewa dengan kejadian itu sehingga menyebabkan lembunya mati akibat perbuatan khianat terhadap haiwan.

"Kami ada melakukan usaha mencari lembu yang hilang, namun sehingga kini masih tiada petunjuk. Saya harap lembu yang hilang tidak menerima nasib yang sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian lembu yang mati.

Katanya, pihaknya merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat ke atas binatang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 3:42 PM