PENGUAT kuasa DBKL memeriksa premis makanan dan minuman dalam Operasi Sepadu Bersih. FOTO Ihsan DBKL
PENGUAT kuasa DBKL memeriksa premis makanan dan minuman dalam Operasi Sepadu Bersih. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Sepadu Bersih terhadap premis makanan atau minuman dan Pusat Penjaja Makanan Statik di sekitar ibu negara, kelmarin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, memaklumkan, operasi itu dijalankan Bahagian Kesihatan Persekitaran serta Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

"Operasi yang diketuai Mazlan Daham iaitu Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL itu membabitkan 46 anggota dan kakitangan.

"Operasi itu dijalankan di Jalan Pahang, Jalan Lumut, Taman Pusat Kepong, Jalan Langkawi, Taman Teratai Mewah, KL East Mall, Leisure Mall Taman Segar, Taman Miharja dan Pusat Penjaja Statik Taman Mulia," katanya hari ini.

Menurut DBKL, sebanyak 62 premis dilawati dan 20 daripadanya adalah pusat penjaja, namun 30 premis tidak beroperasi dan hanya sebanyak 32 sahaja premis diperiksa.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, sebuah premis dikenakan tindakan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 dan Undang-Undang Pelesenan Penjaja WPKL 2016," katanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan turut dikenakan terhadap premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan sah dan pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus.

"Selain itu, ada juga perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat serta berbau dan sisa dan lemak melimpah keluar. Lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam.

"Ada juga premis melakukan pembersihan ala kadar dan tiada jadual pembersihan secara berkala. Terdapat hurungan lipas di bahagian dapur premis dan menjalankan kerja pencucian di lorong belakang, hadapan dan tepi premis.

"Malah, ada premis meletakkan bahan makanan dan perkakas serta alat kelengkapan memasak dan pinggan mangkuk di atas lantai, tidak menggunakan bahan pembungkus bekas makanan dari produk biodegradasi serta tidak memasang alat cerobong penyedut asap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:43 PM