Paya Linda Yahya

Gua Musang: "Sehari sebelum kejadian, arwah menghulurkan duit RM100 yang berlipat dan katanya sebagai kenangan," kata Azizah Ishak, 53, isteri kepada mangsa maut akibat dipijak gajah di kawasan ladang sawit di Lojing, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Mohd Marzuki Mohd Nawi, 42, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Brooke kira-kira 4.45 petang.

Azizah berkata, suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamat tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar memancing bersama rakannya, Mohamad Reezal Norzlan, 32.

Katanya, selepas pulang dari kerja di sebuah ladang durian, suaminya memaklumkan hendak pergi memancing.

"Tiada perubahan ketara pada sikap arwah, namun sehari sebelum kejadian suami sempat bergurau sambil menghulurkan wang RM100 yang berlipat, katanya sebagai kenangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh, di sini.

Menurut Azizah, setengah jam selepas suaminya keluar, dia dimaklumkan kejadian arwah dipijak gajah oleh Mohamad Reezal yang pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengambil pacuan empat roda.

"Kami membawa arwah ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan lanjut dan dimaklumkan suami meninggal dunia kerana kecederaan dalaman.

"Dalam perjalanan ke klinik, suami mengadu sangat sakit dan akan mati. Saya hanya mampu menasihatkan arwah supaya banyak mengucap," katanya yang bekerja di kantin tempat suaminya bertugas.

Azizah menunjukkan duit RM100 yang diberikan arwah suaminya ketika ditemui di rumahnya di RKT Jeram Tekoh, di sini. Foto Paya Linda Yahya
Azizah menunjukkan duit RM100 yang diberikan arwah suaminya ketika ditemui di rumahnya di RKT Jeram Tekoh, di sini. Foto Paya Linda Yahya

Katanya, dia reda dengan kejadian itu dan menganggap ia adalah ujian buatnya.

Sementara itu, Mohamad Reezal berkata, dia tidak akan melupakan kejadian itu seumur hidupnya.

"Ketika (motosikal) mendaki bukit, tiba-tiba dua ekor gajah muncul dan kami cuba untuk berpatah-balik, tetapi motosikal terbalik dan kami terjatuh. Saya sempat melarikan diri, namun arwah tidak sempat.

"Saya dengar dengan jelas bunyi gajah terbabit. Namun, selepas dua ekor gajah pergi, saya kembali ke tempat kejadian dan melihat arwah dalam kesakitan di dalam semak.

"Dalam keadaan arwah yang sakit, saya terpaksa pulang mengambil pacuan empat roda bagi membawanya ke klinik," katanya.

Katanya, ia bukan kali pertama dia melihat haiwan liar berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit itu, namun tidak menyangka kejadian berkenaan akan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:03 PM