FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kawasan ladang sawit berhampiran Tanah Tinggi Lojing, di sini yang menyaksikan pengawal keselamatan maut dipercayai dipijak gajah liar, kelmarin tidak dilengkapi Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, kawasan itu juga tiada Parit Penghalang Gajah yang memudahkan gajah liar dari Hutan Simpan Brooke berhampiran menceroboh.

"Gajah yang menyerang mangsa adalah daripada kumpulan ID Brooke yang mempunyai populasi dianggarkan sebanyak 30 ekor.

"Semakan konflik hidupan liar pula mendapati tiada rekod aduan gangguan gajah liar di kawasan ladang berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamad Hafid menasihati pekerja ladang agar berwaspada apabila terserempak hidupan liar.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya melakukan siasatan bersama polis di lokasi semalam dan tidak menolak kemungkinan mangsa turut diseret kira-kira enam meter dari tempat motosikalnya terbabas.

Dalam kejadian 4 petang itu, Mohd Marzuki Mohd Nawi, 42, meninggal dunia kerana cedera pada paru-paru selain lebam di pinggang kiri dipercayai dipijak gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:32 PM