GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis memburu seorang tukang gunting rambut yang disyaki melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita tempatan di sebuah pasar raya di Manjoi, di sini, yang kes mengenainya tular di Facebook (FB), sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan polis mengenai kejadian diterima semalam daripada seorang wanita berumur 37 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual oleh suspek lelaki disyaki warga India terbabit semasa sedang menunggu suspek menggunting rambut anak lelaki kepada wanita itu, 1.25 tengah hari kelmarin (1 Ogos).

Menurutnya, pihaknya terkesan dengan isu tular terbabit yang dikongsikan oleh pemilik akaun FB bernama 'Siti Hajar Ghazali' yang mana turut mendapat perhatian masyarakat.

Katanya, suspek bagaimanapun dipercayai sudah melarikan diri selepas kejadian.

"Polis mengesahkan menerima satu laporan polis daripada wanita berkenaan, semalam, yang membuat laporan di Balai Polis Jelapang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan D11, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-9093362," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta

Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Difahamkan, sewaktu kejadian, suspek menggunting rambut anak mangsa cuba mengajak mangsa berbual dalam Bahasa Melayu, namun mangsa tidak mengendahkannya, sebelum suspek dikatakan seolah-olah bercakap seorang diri dan mengeluarkan kata-kata lucah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 7:38 AM