Mohamad Khizri dan Muhammad Sanusi pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Sabtu lalu. FOTO Syaharim Abidin
Mohamad Khizri dan Muhammad Sanusi pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Sabtu lalu. FOTO Syaharim Abidin
BERNAMA

Sik: Tiada gunanya jika seseorang pemimpin itu popular tetapi tidak membawa sebarang pembangunan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan diwakilinya dan juga negeri.

Demikian pendapat dilontarkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim terhadap populariti lawannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah iaitu Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Populariti dia (Muhammad Sanusi) ini adalah satu benda yang dianggap sudah dirancang kerana gelombang golongan muda yang terlampau taksub kepada media sosial.

"Hakikatnya populariti yang dicipta itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada rakyat di Sik terutamanya di Jeneri.

"Bolehkah dia tunjuk kepada kita sepanjang tiga tahun setengah dia menjadi Menteri Besar, apa yang dia sudah buat di Sik? "Sedangkan dalam sektor pendidikan sekalipun kita dalam daerah Sik ini adalah antara yang tercorot di Malaysia," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin Muhammad Sanusi seharusnya lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya mengejar populariti untuk agenda peribadi.

Muhamad Khizri turut mempersoalkan usaha yang dilakukan khususnya bagi golongan muda, petani, nelayan dan pekebun kecil getah, di saat Kedah ketika ini berstatus sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia.

Ketua Umno Bahagian Sik itu beranggapan biarlah seseorang pemimpin itu tidak begitu popular namun mampu mengotakan apa yang dijanji dan memberi kesan kepada rakyat dan negeri.

Katanya, beliau yakin pengundi di negeri ini dapat melihat sendiri inisiatif-inisiatif yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Perpaduan yang mula membuahkan hasil positif.

Justeru, beliau percaya sokongan rakyat di Kedah sudah mula berubah ditambah dengan kerjasama yang dijalinkan oleh BN dan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mustahil beliau mampu mengejutkan Muhammad Sanusi pada hari pengundian, 12 Ogos ini.

Kerusi Dun Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Muhamad Khizri dan Muhammad Sanusi yang juga penyandang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Muhammad Sanusi menang dengan majoriti 2,455 selepas memperoleh 10,626 undi menewaskan calon BN Mahadzir Abdul Hamid dan Mohd Nazri Abu Hassan dari PH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 2:57 PM