Muhamad Lokman Khairi

Pasir Salak: Badan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit akan lantang membela nasib rakyat khususnya orang Melayu dan bukan tempat untuk memenuhi kepentingan peribadi, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga presiden NGO itu berkata, penekanan khusus diberikan terhadap kebangkitan orang Melayu daripada aspek politik, ekonomi dan pendidikan.

Katanya, peranan yang bakal dimainkan oleh NGO itu bukanlah sebarangan dan bukan juga bersifat 'syok sendiri'.

"NGO ini bukan sebarangan NGO, kita nak membela nasib rakyat terutama Melayu kerana masih ketinggalan jauh.

"Kita bukan nak syok sendiri, kita tak mahu NGO ini menjadi tempat memuaskan nafsu peribadi kita, gilakan publisiti atau jawatan," katanya ketika ditemui pada program Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di perkarangan kediamannya di Kampung Gajah dekat sini, malam tadi.

Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, penubuhan NGO itu bukanlah bermaksud menentang bangsa lain, tetapi bagi memenuhi keperluan mewujudkan suara aktif orang Melayu sebagaimana persatuan lain yang wujud bagi membela kepentingan bangsa masing-masing.

"NGO mereka lagi hebat, contohnya Dong Zong dalam bidang pendidikan, budaya dan bahasa masyarakat Cina. Kita (orang Melayu) mana dia? Mana NGO Melayu sekarang? Yang menjadi platform perjuangan untuk orang Melayu.

"Maka, kita sebagai NGO akan memantau dasar-dasar kerajaan dan pelaksanaan tanggungjawab mereka dalam pelbagai bidang termasuklah politik, ekonomi, pendidikan, kebajikan, pekerjaan dan perumahan.

"Sekiranya ada perkara-perkara yang perlu diangkat untuk perhatian daripada pihak berkenaan misalnya kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pegawai kerajaan, kita akan ketengahkan," katanya.

Beliau berkata, Pasir Salak Bangkit bergandingan dengan empat NGO lain sebagai sekutu iaitu Evolusi Pasir Salak, Eqlas Belianita, Keramat Rabbiah dan Anak Sungai Bangkit.

Menurutnya, Himpunan Melayu Bangkit 2.0 yang dilaksanakan sempena ambang Hari Kebangsaan ke-66 itu dihadiri kira-kira 2,000 penduduk sekitar kawasan parlimen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 1:50 PM