WAN Rosdy. FOTO arkib NSTP
WAN Rosdy. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini, meluluskan pemberian Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM2.4 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjawat awam negeri Pahang Gred 54 dan ke bawah akan menerima RM300 seorang yang membabitkan 8,000 orang termasuk pegawai serta kakitangan kontrak.

Katanya, manakala pesara kerajaan negeri pula akan menerima RM200 seorang.

"Pemberian bantuan khas ini membabitkan implikasi kewangan RM2.4 juta dan pembayaran akan dibuat pada September ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, pemberian bantuan itu juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada penjawat awam yang sentiasa berdedikasi menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Saya berharap dengan pemberian bantuan khas ini penjawat awam Pahang akan dapat meningkatkan perkhidmatan mereka demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:40 PM