Nurshafika Suhaimi

Shah Alam : Konsert KEPCI Music Fest yang berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan barisan penyanyi baharu dan legenda tempatan seperti Datuk Amy Search, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar, Bunkface dan ramai lagi. 

Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim berkata, penganjuran konsert ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan mereka. 

"Konsert ini untuk anda semua. Ini cara kami menunjukkan penghargaan kepada anda yang dianggap seperti keluarga KFC," katanya. 

Turut hadir memeriahkan festival tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Konsert berskala besar yang julung kali dipentaskan KFC ini menerima pujian ramai penonton yang berpuas hati menyaksikan festival yang dikategorikan sebagai mewah dan berprestij.

Paling menggamatkan suasana semestinya penampilan penyanyi pujaan ramai, iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu popularnya seperti 'Bukan Cinta Biasa', 'Magis' dan 'Menjaga Cintamu'.

Dalam pada itu, penyanyi nombor satu itu teruja dengan sambutan yang diterima dan berharap agar KEPCI Music Fest di Larkin, Johor Bahru selepas ini mendapat sambutan yang sama. 

Turut memeriahkan pentas adalah bakat muda seperti Yonnyboii Dolla, Bunga, COEX dan Luqman Podolski.

Selain daripada persembahan muzik, festival terpilih juga akan menganjurkan pelbagai permainan dan persembahan kebudayaan untuk pengunjung yang hadir. 

Festival ini akan diteruskan di Stadium Kadazan Dusun Cultural Association di Penampang, Sabah pada 6 Oktober dan berakhir di Stadium Larkin, Johor Bahru, Johor, pada 21 Oktober depan.

Untuk melihat kemeriahan festival dan konsert, lihat sorotan KMF di sini atau lawati kepcimusicfest.com untuk maklumat lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 5:23 PM