KEDAI cuci kereta yang diarah tutup serta merta dan peralatan yang disita. FOTO Ihsan FB DBKL
KEDAI cuci kereta yang diarah tutup serta merta dan peralatan yang disita. FOTO Ihsan FB DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala lumpur: Tiga kedai cuci kereta yang dikendalikan warga Myanmar di sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, di sini diarah tutup serta merta kerana beroperasi tanpa lesen.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil menerusi operasi tindakan khas pindah halangan (Car Wash) warga asing tanpa kebenaran di sekitar Taman Bukit Anggerik, Taman Bukit Cheras dan Taman Dahlia di sini.

"Pemantauan dan pemeriksaan penguat kuasa DBKL secara berperingkat di sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak sebelum ini mendapati ada aktiviti tempat cucian kenderaan yang dikendalikan oleh warga asing.

"Hari ini, DBKL mengarahkan tiga premis berkenaan ditutup serta merta manakala 18 peralatan perniagaan termasuk jet air, pam, vakum, mesin penjana, sabun pencuci dan lain-lain disita.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Menurutnya, satu notis kompaun tanpa lesen turut dikenakan terhadap pemilik seorang warga tempatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

Katanya, peralatan dipindahkan ke stor sitaan DBKL untuk proses dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 5:27 PM