NAJIB Razak. FOTO arkib NSTP
NAJIB Razak. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Susulan keputusan itu, kes dibicarakan mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini.

Sequerah memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar selaku responden dalam permohonan itu sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pemohon gagal menunjukkan situasi berat sebelah (danger of bias) selain beliau juga tidak lagi berkomunikasi dengan peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan sejak 15 tahun lalu.

Bulan lalu, hakim itu mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat dengan bekas peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan, yang kini dalam tahanan polis.

Menurut Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, sepanjang tempoh berkhidmat dengan Tetuan Zain & Co. bersama Jasmine, beliau tidak pernah menangani isu 1MDB, begitu juga dengan firma guaman itu pada masa yang berkenaan.

Sebelum ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa memandangkan Sequerah pernah bertugas dengan Jasmine, perkara itu boleh menghalang hakim itu daripada bertindak sebagai pemerhati yang adil dan berfikiran bebas ketika mendengar keterangan wanita itu jika beliau dipanggil menjadi saksi.

Muhammad Shafee ketika berhujah lanjut juga berkata, hakim itu perlu memutuskan isu kebolehpercayaan Jasmine kerana beliau memainkan peranan yang penting (dalam 1MDB) dengan mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, iaitu "untuk menghalalkan perkara yang haram."

Beliau berkata, dalam situasi itu, hakim itu akan berada dalam "kedudukan yang sukar" untuk memutuskan sama ada Jasmine perlu didakwa kerana memberikan keterangan bercanggah.

"Keputusan itu akan menimbulkan konflik dan memalukan Yang Amat Arif kerana hubungan Yang Amat Arif dengannya sebagai bekas rakan kongsi (di firma guaman itu)," katanya.

Sementara itu, ketika membantah permohonan Najib, Kamal Baharin pula berhujah adalah jelas bahawa Jasmine meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008 manakala hakim itu terus berkhidmat di situ sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.

"Adalah jelas bahawa mereka bukan lagi rakan setugas selama kira-kira enam tahun sebelum Yang Amat Arif dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Peranan yang dimainkan oleh Jasmine dalam 1MDB bermula pada tahun 2011 manakala tempoh perkhidmatannya dengan Tetuan Zain & Co adalah antara 1998 dan 2008.

"Tiada kaitan antara isu dalam perbicaraan ini dengan hubungan masa lalu Yang Amat Arif dan bekas rakan kongsinya di firma guaman dan kami berhujah Yang Amat Arif sebenarnya tidak perlu mendedahkan hubungan ini kerana ia boleh didapati daripada rekod awam," katanya.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Mengikut pertuduhan Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 10:54 AM