Ruwaida Md Zain


Klang: Kira-kira 50 pengamal media yang terdiri daripada pemberita, jurugambar, jurukamera pelbagai agensi memenuhi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Mereka yang tiba sejak 5.30 petang berikutan mayat mangsa pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie dibawa ke HTAR.

Sekitar jam 8 malam, kelihatan keluarga waris mangsa nahas tiba secara berperingkat.

Sementara, sekumpulan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan memasang khemah bagi Pos Kawalan berhampiran Jabatan Forensik HTAR.

Setakat ini, pihak media masih menunggu dan belum kelihatan sebarang kenderaan yang membawa mayat mangsa nahas.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 individu maut membabitkan lapan penumpang dan kru pesawat.

Dua lagi mangsa adalah orang awam menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui jalan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

PENGAWAL keselamatan mengawal ketat sekitar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. FOTO Faiz Anuar
PENGAWAL keselamatan mengawal ketat sekitar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 9:27 PM