Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. FOTO NSTP.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. FOTO NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Selepas terpalit dengan isu tidak dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Mohamad Abduh memaklumkan mahu berehat daripada politik untuk satu tempoh.

Bekas Ahli Parlimen Bachok itu berkata, ia adalah tempoh paling sukar buat dirinya serta ibu, Puan Sri Tuan Sabarian Tuan Ishak.

Pada masa sama, anak Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengharapkan Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik.

"Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.

"Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Isu membabitkan Nik Mohamad Abduh yang tidak tercalon di DUN Chempaka mula kecoh susulan bapa saudaranya, Nik Din Nik Mat mendakwa Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjadi punca anak saudaranya tidak dicalonkan di DUN Chempaka.

Nik Din turut mendedahkan nama Nik Mohamad Abduh itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta Pas Kelantan menyenaraikan nama anak saudaranya.

Bagaimanapun, Mohd Amar menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya adalah fitnah dan perkara itu tidak berlaku sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 3:20 PM