Geng Plastik Ija (GPI) bergotong-royong membersih pantai Kuala Kerteh. Foto Ihsan GPI
Geng Plastik Ija (GPI) bergotong-royong membersih pantai Kuala Kerteh. Foto Ihsan GPI
Rosli Ilham


Kemaman: Sebanyak 210 kilogram sampah terutama botol plastik berjaya dikutip dalam tempoh dua jam di pantai Kerteh, di sini, semalam.

Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI) Zulkefli Sarji berkata, program gotong-royong itu disertai kira-kira 126 ahli GPI termasuk 50 kanak-kanak dari Tabika Annur Kerteh.

Menurutnya, ia yang diadakan sejak 2020 adalah hasil kolaborasi GPI dengan Projek Pembangunan dan Teknikal Petronas (PD&T).

"Bermula 2020 sehingga Julai ini, sebanyak 68 tan sampah termasuk 400,000 botol plastik berjaya dipungut dalam 376 program gotong-royong yang dianjurkan.

"Program yang dilaksanakan dengan menyasarkan kawasan pantai yang dikunjungi serta yang tidak dikunjungi orang ramai terutama di kawasan pantai di Kerteh, Kemasik, Paka, Dungun dan Besut," katanya.

Zulkefli berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 30.2 tan sampah berjaya dikutip hasil daripada 121 program gotong-royong yang dilakukan.

Menurutnya, sehingga bulan ini, pihaknya berjaya mengutip 22.9 tan sampah dan program akan diadakan dari semasa ke semasa sebelum kehadiran musim tengkujuh akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 1:46 PM