Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah (tengah) ketika Majlis Perasmian Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah (tengah) ketika Majlis Perasmian Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan digesa meminda dasar, undang-undang serta polisi bersifat tidak mesra kepada koperasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, kerajaan juga digesa supaya mengiktiraf sektor koperasi setaraf dengan Industri Kecil Sederhana (IKS) terutama dari segi pemberian insentif.

Menurutnya, ekosistem dan undang-undang mengenai koperasi mesti diperbaiki supaya perjalanannya lebih mudah sebagaimana entiti perniagaan.

"Ketika ini kebanyakan koperasi dikehendaki menubuhkan anak syarikat bagi menjalankan perniagaan.

"Kita sudah beberapa kali mengemukakan cadangan supaya insentif sama atau setaraf seperti yang ditawarkan kepada IKS diberikan kepada penggiat koperasi. Kita ada tujuh undang-undang yang didapati tidak mesra koperasi" katanya.

Abdul Fattah berkata ketika ini sektor koperasi hanya menyumbang tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Di Malaysia, koperasi diiktiraf sebagai sektor ketiga pembangunan sosioekonomi negara atai dipanggil 'third force'. Jadi kalau diiktiraf sekali pun namun ekosistemnya tak diperbaiki tak boleh juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival 100 Tahun Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, antara yang diharapkan kepada kerajaan adalah bagi mempertimbangkan sektor koperasi supaya diiktiraf dari segi bantuan dana sebagaimana yang dinikmati sektor iIKS.

"Insentif menyamai IKS dilihat mampu mengembang dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan koperasi.

"Jadi kita nampak kalau nak pastikan hasrat kerajaan tercapai iaitu supaya gerakan koperasi menyumbang RM60 bilion pada tahun 2025, koperasi khususnya koperasi besar mesti pelbagaikan aktivitinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 8:28 PM