Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bomba tidak menemukan sebarang unsur asing yang dapat dikaitkan dengan perlakuan jenayah berkaitan kebakaran kecil di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, 27 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, biarpun laporan siasatan kebakaran itu belum lengkap namun pihaknya tidak menolak, kejadian berlaku berhubung kait dengan aspek pendawaian, terutama berikutan pejabat itu terletak di bangunan lama.

"Kita tak nampak kesan (litar pintas) di situ tetapi (sebaliknya) daripada segi aspek pendawaian sebab itu bangunan lama, itu yang kita lihat. Perlakuan jenayah kita tak dapat kesan di situ.

"Daripada siasatan yang kita buat, tidak ada unsur-unsur asing pun. Jadi kebakaran biasa sahajalah," katanya ditemui pada program penyediaan dan pengagihan Bubur Asyura di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini, semalam.

Menurutnya, laporan lengkap siasatan dijangka akan diserah kepada polis dalam dua hingga tiga minggu lagi.

Menurutnya lagi, sehingga laporan lengkap belum siap, buat masa ini, pejabat JSJ berkenaan belum boleh diserahkan kepada IPK Perak untuk pejabat itu kembali digunakan.

"Setakat ini bangunan itu masih lagi dalam siasatan dan kita belum serahkan lagi kembali kepada polis (untuk digunakan) sehingga kita selesaikan siasatan itu.

"Cumanya, bangunan itu pun bangunan lama iaitu kuarters yang dijadikan sebagai pejabat dan dijadikan tempat penyimpanan dokumen-dokumen. Jadi, memang daripada segi aspek penyusunan dan penyimpanan dokumen di situ, mungkin boleh ditambah baik lagi," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pejabat JSJ di IPK Perak, mengalami kebakaran kecil yang memusnahkan 40 peratus bahagian pejabat berkeluasan 304.8 meter persegi itu yang terletak dalam bangunan tiga tingkat.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dipetik berkata, kebakaran itu menyebabkan sebahagian dokumen di Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 10:38 AM