ZETI Akhtar hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
ZETI Akhtar hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa surat didakwa daripada Kerabat Diraja Arab Saudi menyatakan wang tunai berjumlah AS$100 juta dihadiahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak pernah dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, tiga surat bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 daripada bekas Gabenor Wilayah Madinah, Abdulaziz Majid Al Saud yang juga dirampas pada 6 Julai 2015 ketika BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan bersama di AmBank.

Pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Zeti berkata, pihak AmBank mahupun Najib tidak mengemukakan surat berkenaan kepada BNM.

"Selain itu, dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy (berhubung pembukaan akaun peribadi Najib) timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015.

"Fakta ini terbukti daripada surat-menyurat antara Abd Rahman Abu Bakar daripada BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank. Surat-menyurat terbabit adalah bertarikh 22 dan 5 Oktober 2015 dan 11 Mei 2016.

"Semasa serbuan itu juga didapati kod akaun bernama AmPrivate Banking - MR sudah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup," katanya.

Zeti berkata, melalui surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Najib meminta kelulusan FEA (Pentadbiran Pertukaran Mata WangAsing) untuk menukar jumlah RM2.26 bilion dalam akaun semasa MYRnya kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan memulangkan keseluruhan amaun.

Katanya, dalam surat itu, beliau mengisytiharkan dana itu sebagai jumlah derma dan hadiah peribadi belum digunakan yang diterimanya.

Zeti yang menjadi saksi yang ditunggu-tunggu berkata, bagi dana yang dimiliki oleh pemegang akaun seperti yang diisytiharkan, tiada kelulusan yang diperlukan di bawah peraturan FEA.

"Dana kekayaan negara, AS$700 juta dipindahkan ke dalam syarikat swasta milik ahli perniagaan buruan Low Taek Jho," katanya.

Bekas jurubank itu berkata, BNM menghantar surat kepada Najib yang ketika itu Menteri Kewangan untuk memberi amaran kepadanya mengenai peningkatan tahap hutang, cabaran pembayaran balik yang dihadapi oleh 1MDB yang sebenarnya membawa kepada penstrukturan semula pinjaman daripada bank domestik.

"Dalam surat itu, BNM juga menggesa Najib untuk meningkatkan ketelusan mengenai hutang dan operasi 1MDB, dan untuk membendung sebarang peningkatan dalam tahap hutangnya.

"Pada 16 Januari 2015, BNM menulis sekali lagi kepada Najib berhubung kebimbangannya terhadap 1MDB dan untuk mendokumentasikan potensi implikasi yang ketara ke atas kedudukan fiskal kerajaan.

"Ini adalah hutang Jaminan Kerajaan yang juga kewajipan kerajaan yang mesti dipenuhi. Di samping itu, mungkin terdapat kemungkinan penurunan penarafan kedaulatan Malaysia," katanya.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 4:08 PM