Siti Aminah Mohd Yusof


Balik Pulau: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.8 juta bagi memperbaiki cerun runtuh Jalan Balik Pulau menghubungkan Teluk Bahang di sini dengan kerja-kerja pemulihan dijangka siap Disember ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ketika ini laluan terjejas membabitkan jarak sejauh kira-kira tiga kilometer ditutup sepenuhnya kepada pengguna semua jenis kenderaan.

Beliau berkata, terdapat tiga lokasi tanah runtuh membabitkan Seksyen 40.9, 45,4 dan 46.8 berpunca daripada hujan lebat berterusan dengan taburan hujan pada hari kejadian 1 Julai lalu mencapai 176 milimeter (mm) melebihi kadar biasa 60mm.

"Kerja pembaikan 'sinkhole' atau lubang benam pada Seksyen 40.9 dimulakan pada 24 Julai lalu dengan menggunakan kaedah pemasangan gabion dengan kos sebanyak RM45,000 dan dijangka siap 23 September ini.

"Kita mengambil maklum cabaran yang ada memandangkan ia adalah jalan penghubung yang penting kepada industri pelancongan dengan terdapat banyak kebun durian di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) meninjau lokasi kejadian cerun runtuh di laluan FT006 Seksyen 45.4 dan 46.8, Jalan Balik Pulau - Teluk Bahang Daerah Barat Daya, Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) meninjau lokasi kejadian cerun runtuh di laluan FT006 Seksyen 45.4 dan 46.8, Jalan Balik Pulau - Teluk Bahang Daerah Barat Daya, Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Nanta Linggi berkata, kerja-kerja baik pulih membabitkan seksyen 45.4 dan 46.8 menggunakan kaedah 'tie-back wall' turut membabitkan pembinaan tembok vertikal yang dipaku pada dinding bukit telah telah dimulakan hari ini.

"Kementerian sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang bagi memastikan ia selamat digunakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool menjelaskan kerja-kerja pembaikan agak mencabar dan mengambil masa kerana ia membabitkan kawasan cerun berbukit dan laluan sempit.

"Selain cabaran cuaca hujan kawasan ini adalah jalan lama dengan mengambil kira kawasan ruang terhad jadi kita membina tembok vertikal bagi menampung beban tanah dan kenderaan.

"Kaedah ini dilihat lebih selamat selain kita turut melakukan modifikasi mengikut kesesuaian laluan yang dilihat agak melengkung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:04 PM