Norzamira Che Noh

Klang: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan cadangan naik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, cadangan berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh jemaah menteri yang bermesyuarat, semalam.

Beliau berkata, MPK akan menjadi bandar raya keempat di Selangor selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan ke-20 di Malaysia.

"Penaiktarafan ini bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan yang mampan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti serta bertaraf antarabangsa untuk meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat di Klang.

"Saya yakin, kelebihan naik taraf menjadi bandar raya akan menambah kemakmuran dan keselesaan yang dapat dinikmati oleh rakyat," katanya pada sidang media di Program Sentuhan Kasih Selangor di sini, hari ini.

KLANG. FOTO arkib NSTP
KLANG. FOTO arkib NSTP

Kor Ming berkata, istiadat pengisytiharan MPK sebagai bandar raya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata melalui program Sentuhan Kasih KPKT, kementerian itu meluluskan permohonan 21 projek oleh MPK berjumlah RM5 juta..

Katanya, antara projek yang akan dilaksanakan adalah menaik taraf Pasar Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat (Jalan Keretapi Lama), laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota serta membina tandas awam moden.

KOR Ming (tengah) diiringi Noraini (baju kuning) meninjau Jambatan Kota, Klang akan dinaik taraf. FOTO Faiz Anuar
KOR Ming (tengah) diiringi Noraini (baju kuning) meninjau Jambatan Kota, Klang akan dinaik taraf. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, Yang Dipertua MPK Noraini Roslan berkata, persediaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk dinaik taraf ke bandar raya bukan baharu sebaliknya ia bermula sejak 2006.

"MPK sudah lama memenuhi kriteria (bandar raya) yang mana pendapatan kita sudah melebihi RM300 juta sejak beberapa tahun lalu dan jumlah penduduk Klang yang berbanci setakat ini adalah 902,000, orang yang mana kita percaya sebenarnya ia (penduduk) lebih daripada itu.

"Kita juga mempunyai Pelabuhan Klang iaitu pelabuhan utama yang menjadi pemangkin ekonomi bukan sahaja Selangor malah Malaysia. Dengan kriteria itu, Klang selayaknya dinaik taraf kepada bandar raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 2:46 PM