ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Chuat melihat jalan baharu yang dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat
ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Chuat melihat jalan baharu yang dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Bera: Kerajaan tidak pernah ketinggalan menyediakan kemudahan jalan untuk masyarakat Orang Asli walaupun mereka menetap di kawasan luar bandar.

Ini dibuktikan apabila jalan Kampung Chuat iaitu perkampungan Orang Asli berhampiran Kampung Bukit Imam Sulong di sini, dinaik taraf demi keselesaan masyarakat setempat.

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jalan sepanjang 4.1 kilometer bernilai kira-kira RM3 juta itu siap sepenuhnya pada 15 Disember lalu mengikut jadual.

Katanya, projek menaik taraf jalan berkenaan yang lebih lebar dan selesa memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 pengguna termasuk penduduk Orang Asli Kampung Chuat serta kampung berhampiran.

JALAN Kampung Chuat yang dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat
JALAN Kampung Chuat yang dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Kemudahan asas di Kampung Orang Asli dilakukan berterusan yang menunjukkan kita tidak pernah lupa membangunkan kampung Orang Asli di daerah ini dan seluruh negara.

"Turut tidak ketinggalan pelbagai kemudahan lain diperlukan masyarakat Melayu, Cina dan India," katanya pada majlis penyerahan projek menaik taraf jalan dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Prasarana Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Mohd Fazli Mohd Kenali, Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Pahang Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz dan Jurutera Daerah Bera Mohd Faizarudin Mohd Noor.

Ismail Sabri berkata, pembinaan jalan ini penting bagi menggantikan jalan lama yang sudah teruk dan tidak selesa buat pengguna, sekali gus memberikan keselesaan kepada penduduk setempat melakukan aktiviti seharian.

Katanya, selain jalan Kampung Chuat yang diluluskan ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Luar Bandar, dua lagi projek pembinaan jalan diluluskan di kampung Orang Asli di daerah ini ialah Kampung Serting Hilir dan Kampung Bongkok.

MASYARAKAT Orang Asli Kampung Chuat kini selesa menggunakan jalan kampung mereka selepas dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat
MASYARAKAT Orang Asli Kampung Chuat kini selesa menggunakan jalan kampung mereka selepas dinaik taraf. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Jalan Kampung Serting Hilir membabitkan peruntukan RM5 juta sudah siap manakala jalan di Kampung Bongkok juga bernilai RM5 juta kini dalam proses pembinaan.

"Saya berharap kemudahan jalan disediakan pada masyarakat Orang Asli antara bukti betapa prihatin kerajaan yang tidak pernah membezakan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya di daerah ini dilakukan secara berterusan termasuklah pembinaan jalan daripada Triang ke kem tentera bernilai RM28 juta yang giat dijalankan.

Menurutnya, pihaknya juga memohon supaya projek menaik taraf Jalan Temerloh-Bera fasa satu sehingga ke Kerayong disambung kepada fasa seterusnya sehingga ke sempadan daerah Bera dan Negeri Sembilan.

Katanya, projek yang dianggarkan bernilai RM350 juta ini sangat signifikan memandangkan laluan sepanjang 23 kilometer berkenaan antara laluan utama ke beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Melaka.

"Jalan Temerloh-Bera kini berhadapan kesesakan terutama pada hujung minggu berikutan pertambahan pengguna, mereka dari Kuala Lumpur yang ingin ke negeri jiran melalui jalan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:45 AM