AMIRUDIN Shari (tengah) diiringi Oh Kim Sun (dua dari kanan), Loo Hooi Keat (kiri) dan Tan Jing Jeong (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif Global Vision Logistics, Jonathan Tan Boon. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN Shari (tengah) diiringi Oh Kim Sun (dua dari kanan), Loo Hooi Keat (kiri) dan Tan Jing Jeong (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif Global Vision Logistics, Jonathan Tan Boon. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelesaikan isu perumahan terbengkalai membabitkan lebih 500 pembeli Rumah Selangorku di Morib, Kuala Langat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek berkenaan sedang diteliti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan sudah mendapat perhatian KPKT bagi penyelesaian secara bersama.

"Kita sedang mengambil beberapa tindakan yang agresif. Projek terbengkalai ini adalah salah satu isu yang perlu diselesaikan di antara dua kerajaan iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Kita tidak banyak projek sebegitu, Morib adalah salah satu yang besar, jadi saya akan minta KPKT terutamanya memasukkan projek itu sebagai (projek) yang boleh diselesaikan, dalam enam atau tujuh bulan ini KPKT selesaikan lapan projek terbengkalai.

"Jadi, saya berharap Timbalan Menteri KPKT Akmal Nasrullah Mohd Nasir boleh ambil tindakan sebab punca kuasanya ada di KPKT dan kita harap KPKT boleh selesaikan bersama kerajaan negeri.

"Isu ini kita sudah angkat dan memang dalam perhatian Timbalan Menteri yang banyak mengangkat isu perumahan terbengkalai," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SAILH, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 500 pembeli projek perumahan Rumah Selangorku bagi golongan B40 di Morib buntu selepas rumah yang sepatutnya siap pada 2020 masih belum boleh diduduki.

Pembeli dikatakan sudah mula membuat bayaran ansuran pinjaman sekitar RM1,000 hingga RM1,500 kepada bank sejak 2019, namun apartment setinggi 17 tingkat itu belum siap dibina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 3:36 PM