NUR Adelia Raisya Mohd Khairul Azhar bersekolah di sekolah harian . FOTO Ihsan Mohd Khairul Azhar Shuaib
NUR Adelia Raisya Mohd Khairul Azhar bersekolah di sekolah harian . FOTO Ihsan Mohd Khairul Azhar Shuaib
Redzuan Muharam

Alor Setar: "Daddy, kenapa tangan Raisya tak sama macam orang lain?," itu pertanyaan pernah diajukan Nur Adelia Raisya Mohd Khairul Azhar atau mesra disapa Raisya yang menghidap 'arthrogryposis multiplex congenita' iaitu masalah berkaitan otot dan tulang.

Berikutan itu, tangan Raisya, 7, berfungsi dengan tahap minima, tidak boleh diangkat dan membengkok serta kelainan pada kaki yang menyebabkannya hanya boleh berjalan ketika berusia tiga tahun.

Walaupun begitu, Raisya tetap menjadi permata hati buat Lizawati Abdul Rahman, 41, dan Mohd Khairul Azhar Shuaib, 39, yang masih tidak putus asa mencari penawar buat anak mereka itu.

Bercerita lanjut, Mohd Khairul Azhar dari Hutan Kampung di sini, berkata, Raisya adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan satu-satunya anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU)

Menurutnya, dia dan isteri hanya tahu mengenai keadaan Raisya itu selepas dilahirkan kerana tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang simptom sepanjang dalam kandungan.

"Setiap bulan, saya teman isteri berjumpa doktor untuk periksa kandungannya dan nampak normal saja.

"Hari Raisya dilahirkan, saya yang teman isteri dalam bilik bersalin untuk sambut kelahirannya dan waktu itu baru nampak tangan juga kakinya yang berbeza cuma tak maklumkan pada isteri.

"Keesokannya, doktor beritahu kami keadaan Raisya dan saya terima dengan reda cuma isteri agak berat pada mulanya namun saya pujuk dengan katakan padanya Allah SWT uji sebab sayang dan kurniakan Raisya sebagai hadiah istimewa buat kami.

"Jadi, mahu atau tidak kami kena terima qada dan qadar. Alhamdulillah, keluarga dan orang sekeliling banyak beri sokongan.

"Malah, tempat saya suka bawa isteri pergi adalah hospital kerana di situ, kita dapat lihat lebih ramai anak dan ibu bapa lain yang kurang bernasib baik dan ada yang menerima ujian lebih berat dari kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Khairul Azhar, fungsi tangan Raisya sangat terhad kerana (tangannya) bukan hanya tidak boleh diangkat dan membengkok tetapi juga sukar untuk menggenggam jarinya.

 NUR Adelia Raisya Mohd bersama ibu bapa dan adik beradiknya.FOTO Ihsan Mohd Khairul Azhar Shuaib
NUR Adelia Raisya Mohd bersama ibu bapa dan adik beradiknya.FOTO Ihsan Mohd Khairul Azhar Shuaib

Katanya, Raisya juga pernah menjalani tiga kali pembedahan sebagai ikhtiar untuk merawat penyakitnya.

"Pembedahan pertama dilakukan ketika Raisya berusia tiga tahun membabitkan kedua belah kakinya, kedua pada tangan kanannya waktu berusia lima tahun, ketiga tahun lalu berkaitan prosedur memperbetulkan ibu jari tangan kanannya dan akan datang pada Disember nanti untuk tangan kiri pula.

"Setiap bulan, kami tidak pernah ketinggalan membawa Raisya menjalani rawatan fisioterapi.

"Ada juga saya cuba ikhtiar dengan rawatan tradisional...mana saja orang sebut, kami akan pergi.

"Bukan tak berkesan, cuma mungkin rawatan berkenaan tidak sesuai buat keadaan Raisya dan menurut doktor, Raisya sukar untuk sembuh sepenuhnya," katanya.

Bagi memastikan Raisya tidak tercicir dalam pelajaran, Mohd Khairul Azhar dan isterinya menghantar anak mereka itu ke sekolah harian biasa.

"Sejak tadika lagi kami sudah hantar Raisya bersekolah kerana mahu dia rasai pengalaman, peluang belajar dan bergaul dengan kanak-kanak lain.

"Kini, Raisya sudah masuk tahun satu dan nampak dia seronok ke sekolah malah boleh menulis cuma lambat dan tak boleh pegang pensil macam kita.

"Saya sudah bincang dengan cikgu dan pihak sekolah untuk bantu pantau Raisya dan setakat ini, dia boleh ikut serta dalam aktiviti di sekolah cuma yang ringan saja.

"Apabila sudah semakin membesar dan mula bergaul, ada juga kanak-kanak mengejek Raisya mungkin kerana tak faham tapi saya selalu pujuknya dengan katakan tanganya istimewa," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Mohd Khairul Azhar tidak menyangka ramai mendoakan anaknya dan memberi sokongan kepadanya selepas memuat naik video Raisya di platform berkenaan.

"Terima kasih saya ucapkan dan saya tak minta banyak, memadai untuk melihat Raisya boleh berdikari dan urus diri dia sendiri nanti kerana buat masa sekarang, Raisya tak boleh pakai baju sendiri dan perlu dibantu untuk mandikannya.

"Jujurnya, saya tak malu ada anak seperti Raisya dan sejak berkongsi video di TikTok, saya berkenalan dengan ramai ibu bapa anak istimewa yang penyakitnya lebih kurang dengan Raisya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 3:34 PM