Khairish Hashim

Percutian kali ini istimewa. Biasanya penulis bercuti berdua bersama isteri, Syafrimar Siska Utama tetapi perjalanan kali ini disertai puteri sulung, Raisya Adelia yang baru menyambut ulang tahun pertama pada 20 November lalu.

Malah perjalanan kali kedua ke negara matahari terbit ini juga bagi meraikan ulang tahun perkahwinan yang kesembilan, sekali gus mengimbau kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.

Melancong ke luar negara bersama anak kecil berusia setahun memang mengundang 1,001 cabaran terutama daripada aspek pemakanan, pemakaian, kesihatan dan sebagainya. Namun sebagai ketua keluarga, penulis sanggup menyahut cabaran itu untuk menggembirakan isteri dan anak.

Selepas tujuh jam penerbangan, akhirnya kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. Suhu ketika itu sekitar 11 darjah Celsius dan Jepun bersiap sedia menghampiri musim sejuknya.

Walaupun teruja untuk menikmati suasana sejuk, beberapa baju tebal yang dibawa memakan banyak ruang bagasi. Untuk memaksimumkan penggunaan ruang, kami membawa pakaian dalaman tambahan dengan teknologi ‘heattech’ yang nipis dan ringan tetapi mampu memanaskan tubuh.

Jadi, ruangan bagasi dapat dioptimumkan untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga dari satu lokasi ke lokasi seterusnya sepanjang berada di Tokyo.

Oleh kerana ini pengalaman musim sejuk pertama buat Raisya, penulis gusar juga dengan daya ketahanannya. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan berbekalkan perancangan awal yang menyeluruh serta perkongsian maklumat bermanfaat doktor pakar, puteri kecil penulis berada dalam keadaan baik.

Seperti kali pertama menjejakkan kami ke sini pada 2014, aspek komunikasi dengan penduduk setempat masih menjadi cabaran buat kami. Walaupun masyarakat Jepun yang sangat menjaga tatasusila, kesopanan, kebersihan dan disiplin ini ramah tetapi rata-ratanya lebih gemar bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Kami memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Internet untuk mencari maklumat. Bagi lebih memudahkan, kami menyewa sistem WiFi bergerak untuk memastikan telefon pintar sentiasa mempunyai jaringan Internet yang stabil sepanjang perjalanan.

Jadi maklumat penting seperti lokasi makanan halal, laluan terpantas, aliran sistem tren dan pelbagai lagi dapat ditemukan dengan mudah dan tepat.

Destinasi pilihan pertama pasti Disneyland Tokyo. Ketika tiba, Disneyland Tokyo dalam rangka sambutan ‘The Happiest Celebration’ ke-35, sejajar dengan ketibaan perayaan Hari Natal. Ia disambut penuh gemilang dengan persembahan tarian beragam, perarakan kereta berhias dan berlampu elektronik, pertunjukan bunga api serta pelbagai lagi tarikan.

SISKA dan Raisya sama seronok di Disneyland Tokyo.
SISKA dan Raisya sama seronok di Disneyland Tokyo.

Seperti dijangkakan, Raisya amat teruja tatkala melihat karakter kartun Disney kegemarannya secara dekat seperti Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy, Big Hero 6 dan ramai lagi.

Keletah dan keramahan mereka melayani peminat cilik sememangnya mencuit hati dan menghiburkan. Acap kali Raisya tersenyum dan tertawa girang apabila diusik manja.

Tapak tarikan Disneyland Tokyo dihias indah dengan monumen mini Mickey Mouse pelbagai rupa yang menghuni hampir keseluruhan taman tema. Pada waktu tertentu, bangunan di taman utamanya dilimpahi cahaya berirama mengikut alunan muzik Krismas popular, menarik perhatian pengunjung untuk turut sama bernyanyi dan menghayati keindahannya.

Tidak saja Raisya, kami suami isteri pun teruja dan menanam impian kembali ke sini satu hari nanti untuk merasai kegembiraannya sekali lagi.

PERSEMBAHAN Minnie Mouse yang mengujakan.
PERSEMBAHAN Minnie Mouse yang mengujakan.

Dalam soal perkhidmatan pengangkutan tren di Tokyo, ia memang hebat dan meluas tetapi sedikit mengelirukan. Mana tidaknya, dengan rangkuman pelbagai jenis aliran (contohnya aliran tren JR Yamanote Line dan juga Toei Asakusa Line) dan pelancong yang menggunakan perkhidmatan tren secara maksimum untuk bergerak berpotensi besar untuk tersesat sekiranya tidak dapat memahami bacaan setiap aliran secara terperinci.

RAISYA bersama watak comel kegemarannya.
RAISYA bersama watak comel kegemarannya.

Sebagaimana banyaknya sistem aliran tren yang ada di Tokyo, sebegitu jugalah banyaknya anak tangga pada setiap stesen perhentiannya untuk kemudahan transit pengguna tren ini. Padanlah orang Jepun ramai yang kurus kerana selain amat menitikberatkan soal kesihatan mereka juga banyak berjalan dan turun naik tangga!

SUASANA di Disneyland Tokyo.
SUASANA di Disneyland Tokyo.

Selama 10 hari di sini, penulis dapati berbasikal, berjalan dan turun naik tangga di stesen tren menjadi senaman tidak rasmi di Jepun. Pada mereka yang mengimpikan paha sekuat pelumba basikal negara, Azizul Hasni Awang, Jepun adalah negara yang sesuai untuk anda berlatih!

Melihat warga Tokyo yang sentiasa bergerak pantas, kami sekeluarga secara tidak langsung terikut-ikut rentak mereka. Kami juga banyak menggunakan tangga walaupun ada lif. Sesekali terlihat beberapa warganya berlari deras kerana tidak mahu terlepas tren walaupun tertera di papan notifikasi bahawa tren seterusnya dijadualkan tiba dalam anggaran 10 minit selepasnya.

Bukan saja pada tren, tidak keterlaluan jika dikata hampir keseluruhan sistem pengangkutan di Jepun bergerak tepat mengikut jadual waktu yang ditetapkan.

BERGAMBAR di depan Istana Alice In Wonderland.
BERGAMBAR di depan Istana Alice In Wonderland.

Banyak kali penulis dan isteri sengaja meluangkan masa memerhatikan budaya positif ini. Kami benar-benar kagum dengan sikap masyarakat Jepun kerana ia menunjukkan betapa tingginya penghormatan mereka kepada kepentingan masa.

Penulis dapati gaya kehidupan warga Jepun yang sentiasa aktif ini sedikit sebanyak menyumbang kepada tahap kesihatan mereka. Tidak hairanlah jika ramai warga emas di Jepun masih cergas.

Masyarakat Jepun juga mementingkan ketenangan. Di setiap lokasi penginapan, kami diingatkan supaya tidak membuat bising pada waktu malam untuk menghormati kesejahteraan penghuni setempat.

Kerana itu, dapat dilihat tatkala malam tiba, kawasan perumahan di sekitar Tokyo akan menjadi senyap dan sunyi. Sekali-sekala yang kedengaran hanyalah bunyi putaran roda basikal melintasi jalan dan lorong sunyi!

PEMANDANGAN Menara Tokyo pada waktu malam.
PEMANDANGAN Menara Tokyo pada waktu malam.

Memang banyak budaya Jepun yang kami kagumi dan boleh dicontohi serta diterapkan dalam kehidupan kita untuk membentuk sahsiah diri khususnya dari segi kebersihan dan ketepatan waktu. Semua ini sebenarnya adalah nilai asas yang sangat penting dan menjadi keutamaan dalam Islam.

Namun, bak kata pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri. Walaupun dihidangkan pelbagai pengalaman menarik dan mengujakan, Malaysia tetap di hati.

Hanya beberapa hari di Jepun, kami sudah merindui kesederhanaan di negara sendiri.

Memandang wajah isteri dan anak, penulis tahu ke pelosok mana pun kaki melangkah, keluarga yang bahagia jugalah menjadi ‘rumah’ yang sentiasa memanggil-manggil untuk kita pulang ke pangkuannya.

BERGAYA dengan kimono.
BERGAYA dengan kimono.

Anda ada cerita perjalanan atau percutian yang hendak dikongsikan dengan pembaca Metro Ahad? Apa tunggu lagi, kirimkan cerita menarik anda kepada kami di atau [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:02 AM