ANWAR hadir pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementeri Kewangan, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR hadir pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementeri Kewangan, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Zaky Zainuddin


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelatih yang menjalankan latihan industri di kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum sebanyak RM800 sebulan.

Beliau berkata, biarpun secara tradisi pelatih industri tidak menerima sebarang bayaran, elaun itu penting terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

"Jadi untuk permulaan, intern (pelatih industri) memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan, tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin.

"Malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun perantisan RM800 sebulan untuk semua pelatih industri," katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Anwar berkata, dasar pemberian elaun perantisan terbabit ditetapkan oleh Kementerian Kewangan supaya semua GLC yang mengambil pelajar untuk menjalani latihan industri menunjukkan teladan yang baik.

"Ada perkara yang saya nak kongsikan, sebenarnya cadangan untuk memberikan elaun ini, datang daripada seorang pelajar Tingkatan 6.

"Sebab itu walaupun kita memerlukan input daripada pakar ekonomi, kadang-kadang pelajar Tingkatan 6 memberikan cadangan yang amat baik dan kita mesti perhalusinya," katanya.

Perdana Menteri turut berkata, GLC yang kini menyediakan sebanyak 35,000 peluang pekerjaan akan diminta mengambil pelajar lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengisi peluang disediakan itu.

"Berhubung aspek peluang pekerjaan dan meraih pendapatan, GLC yang menyediakan 35,000 peluang pekerjaan akan turut mengambil lepasan TVET bekerja.

"Saya sudah minta semua GLC memberikan laporan berkala berapa jumlah yang diambil supaya sasaran kita untuk mendapat 35,000 pekerjaan, akan dapat dipenuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 5:40 PM