Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seorang pegawai bank berusia 32 tahun kerugian RM102,700 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud melalui laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa melayari FB sebelum melihat iklan rangkaian kedai buku pada 2 Jun lalu.

Katanya, rangkaian kedai buku terbabit memaklumkan akan memberi beberapa buku pelaburan secara percuma.

"Mangsa hanya perlu memasukkan maklumat peribadi di pautan yang diberi melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas mangsa menekan pautan masuk ke dalam aplikasi sistem pelaburan saham, suspek menawarkan pelaburan saham dan memaklumkan mangsa akan menerima keuntungan 30 peratus selepas membuat pelaburan RM100,000," katanya.

Mangsa yang terpedaya melakukan 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh tiga minggu berjumlah RM102,700.

"Mangsa menggunakan wang simpanannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Mana-mana syarikat atau individu yang tidak diberi lesen dan kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak boleh menerima deposit daripada mana-mana pihak.

Semakan boleh dilakukan di https://www.bnm.gov.my/financial-consumer-alert-list selain https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/investor-alerts/sc-investor....

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 2:20 PM