Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas lima pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM7,900 daripada seorang pemilik syarikat lima dan enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah, 48, yang berpangkat Bintara Muda Maritim Gred T6 mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kelima-kelima kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang keseluruhan berjumlah RM7,900 daripada seorang pemilik perniagaan berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di sekitar Pulau Pinang antara 17 April 2017 hingga 2 Ogos 2018.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.

Ketika prosiding, Afiqa Liyana meminta tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya dikenakan syarat tambahan dengan perlu melapor diri di pejabat SPRM serta menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Namun, peguam tertuduh meminta mahkamah memberikan jaminan munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain meminta tertuduh hadir melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 10 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 5:43 PM