Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Rakyat Malaysia harus sedar dan usah mudah terpengaruh dengan tawaran lumayan bekerja di luar negara yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa buruh paksa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana, kes sedemikian masih berlaku dan terbaharu, ia membabitkan 127 warga Malaysia yang diselamatkan polis Filipina pada 27 Jun lalu.

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) melekatkan patches kawalan sempadan RELA kepada anggota RELA. FOTO Syaharim Abidin
SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) melekatkan patches kawalan sempadan RELA kepada anggota RELA. FOTO Syaharim Abidin

"Kita ingatkan supaya rakyat Malaysia tidak mudah terjebak dengan apa-apa bentuk tawaran kerja yang diterima tanpa melakukan semakan, kena ada kesedaran orang awam ini tentang perkara ini melalui kempen dari semasa ke semasa.

"Manusia ini lumrahnya semakin diberi ingatan, ada kalanya ada juga masih terbabit. Jadi kalau ini terus berlaku, kita terpaksa menyelamatkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 Peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara, Bukit Selambau di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Rela Datuk Yahya Sulaiman.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, 127 daripada 134 mangsa yang diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas 'Philippine Offshore Gaming Operator' (POGO) pada 27 Jun lalu, dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Manila berjaya mengenal pasti 127 individu terbabit dan akan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi menghantar pulang semua mereka dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia itu akan membabitkan penyelesaian antara kerajaan dengan kerajaan atau polis dengan polis membabitkan interaksi Polis Asean.

Katanya, kaedah itu turut diguna bagi menyelamatkan mangsa berkaitan kejadian sama di negara seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand sebelum ini.

"Kita mengguna kaedah yang sama, asas kita adalah rakyat Malaysia itu wajib diselamatkan dan setelah diselamatkan, diuruskan dan di bawa pulang dengan selamat.

"Itu asas kepada tindakan yang kita buat termasuk dalam insiden terbaharu (membabitkan 127 rakyat Malaysia yang diselamatkan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:55 PM