Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencadangkan agar Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membeli dan membaca buku perlembagaan bagi memahami perjalanan negara yang mempunyai 13 negeri termasuk Pulau Pinang.

Beliau berkata, sebagai menteri besar, Muhammad Sanusi sepatutnya memahami prinsip Rukun Negara di antaranya Keluhuran Perlembagaan.

"Dalam segala apa perjalanan negara kita dari segi pentadbiran, politik dan struktur kerajaan, mesti berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Bab ini kalau belajar (subjek) Pengajian Am, tingkatan enam yang pernah belajar mesti dia reti (faham).

"Kalau tak, dia tak lepaslah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebab Perlembagaan Persekutuan itulah yang akan memandu perjalanan sesebuah negara.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan, kita ada 13 buah negeri. Kalau Menteri Besar Kedah tak faham, saya cadangkan dia beli dan baca balik Perlembagaan Persekutuan kita ada 13 negeri termasuk Pulau Pinang," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kelmarin, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, sebagai rakyat Kedah, beliau jarang berjumpa dengan seorang menteri besar yang suka mencetuskan kontroversi tidak perlu.

Katanya, isu antara Kedah dan Pulau Pinang sudah pun selesai di peringkat Kerajaan Persekutuan dan setiap pihak perlu bergerak ke depan.

"Benda-benda ini telah pun diuruskan oleh pendiri negara kita dalam tempoh yang sudah pun sekian lama. Saya pun rakyat Kedah, pernah jadi wakil rakyat Kedah, faham tentang sejarah Kedah.

"Menteri besar silih berganti. Saya jarang sangat dengar menteri besar ulas benda-benda begini, daripada bangkit soal Pulau Pinang hak Kedah, isu pampasan nak sekat air.

"Saya fikir sampai masa rakyat Kedah celik bahawa kita perlu kepada pemimpin yang mengambil berat soal rakyat daripada nak mencetuskan kontroversi dan perkara yang tak perlu, "katanya.

Saifuddin berkata, sebagai menteri besar, Muhammad Sanusi sepatutnya memberi tumpuan menjaga kebajikan rakyat termasuk memulihkan gangguan bekalan air bersih dan membantu Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan angka kemiskinan tegar di negeri itu.

 Anthony Loke (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri) bergambar bersama penerima lesen motosikal pada Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di Purest Hotel, hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Anthony Loke (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri) bergambar bersama penerima lesen motosikal pada Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di Purest Hotel, hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:50 PM