PELANCONG menjalani pemeriksaan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia KLIA. FOTO Arkib NSTP
PELANCONG menjalani pemeriksaan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia KLIA. FOTO Arkib NSTP
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Penolakan kemasukan pelawat wanita dari China dikenali sebagai Wang Xu dijalankan mengikut prosedur serta selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017.

Memetik laporan sebuah portal, Penolong Penguasa Imigresen Syahmi Syafie Md Nazmil memaklumkan dakwaan budaya rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang adalah tidak berasas.

Menurutnya, semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia.

"Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan," kata laporan itu.

Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.

Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3,000 melalui ejen untuk dilepaskan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM, semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 11:36 PM