MOHD Zin (empat kiri) berbual bersama sukarelawan sebelum berlepas ke Nepal. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHD Zin (empat kiri) berbual bersama sukarelawan sebelum berlepas ke Nepal. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Sepang: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menerusi program MyQurbani melaksanakan ibadah korban yang dilakukan serentak di 13 negara antaranya di Lubnan, Gaza, Syria, Nepal, India, Myanmar, Somalia, Somaliland, Sudan, Afghanistan, Bangladesh, Yaman selain di tanah air Malaysia.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, setiap tahun lebih 30,000 masyarakat Islam dalam kalangan asnaf dan fakir miskin di semua negara itu menerima manfaat daging korban dan aqiqah tajaan rakyat Malaysia yang diselaraskan oleh MyCare.

"Pelaksanaan korban di 13 negara ini membabitkan lebih 318 binatang korban dengan penyertaan hampir 1,000 bahagian korban," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini sebelum berlepas ke Nepal untuk program MyQurbani di negara berkenaan.

Mohd Zin yang juga Ketua Misi MyQurbani ke Nepal menjelaskan misi di negara itu akan berlangsung selama tujuh hari sehingga 26 Jun hingga 2 Julai ini.

Katanya, MyCare memperoleh 28 kerbau mewakili penaja di Malaysia untuk pelaksanaan korban di Nepal.

"Untuk Nepal, kita akan laksanakan di beberapa kawasan. Kami akan mendarat di Kathmandu tetapi kami akan dibawa ke pedalaman untuk pelaksanaan korban.

"Program MyQurbani bertujuan memberikan peluang kepada penduduk miskin di negara berkenaan menikmati makanan enak daripada daging korban.

"Nepal yang berada di tangga keenam paling miskin di Asia Selatan. Daripada lebih 30 juta penduduk, Nepal hanya mempunyai lima peratus rakyatnya beragama Islam," katanya.

Beliau berkata, selain korban, MyCare akan memantau beberapa projek kemanusiaan yang dilaksanakan di Nepal sebelum ini.

"Sebenarnya MyCare sudah banyak laksanakan aktiviti kemanusiaan di Nepal sejak negara itu pada 2015 dilanda gempa bumi.

"Alhamdulillah kita sudah melaksanakan beberapa projek selain daripada infrastruktur membina rumah, menaja anak yatim muslim serta membina telaga untuk sumber air bersih. Kami akan dapatkan maklum balas dari rakan pelaksana di Nepal," katanya.

Sementara itu, katanya, program MyQurbani juga secara tidak langsung membuka ruang kepada sesiapa untuk menyertai ibadah korban dengan kos yang lebih rendah.

"Bagi mereka yang ingin menyertai projek MyQurbani MyCare boleh layari www.myqurbani.my

"MyCaremasih menerima penyertaan ibadah qurban di negara India, Afghanistan, Syria dan Gaza. Tarikh tutup penyertaan ialah esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:04 PM