KAMAL Adli. FOTO Arkib NSTP
KAMAL Adli. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Singapura: Mahkamah Singapura membenarkan penangguhan dua minggu lagi untuk pendakwa raya menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

Hakim Daerah Ong Hian Sun juga mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes.

"Pendakwaan kes polis belum lagi bersedia. Kami memohon penangguhan selama dua minggu. AGC (Jabatan Peguam Negara) berunding dan IO (pegawai penyiasat) sudah dibimbing untuk menjalankan siasatan lanjut," kata pendakwa raya.

Tertuduh yang muncul melalui pautan video pada Isnin diwakili oleh peguam Wee Hong Shern dari Ong & Co LLC.

Wee tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu dan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya sudah mengarahkannya untuk membuat permohonan ikat jamin.

Wee juga bertanya kepada pihak pendakwaan sama ada siasatan lanjut pihak berkuasa berkaitan dengan pertuduhan baharu atau yang sedia ada.

Pendakwa raya dalam reaksinya berkata: "Ia adalah atas pertuduhan sedia ada. Pertuduhan baharu masih belum ditawarkan."

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana "disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela."

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

Pada 12 Mac, polis dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 1:32 PM